HATI SEORANG IBU

By dorashid - January 13, 2021

 

HATI SEORANG IBU

oleh

Abdul Rashid Abdul Aziz

 


Emak, kisah ini masih terpahat dalam memori dari ribuan bukti kasih sayang mu. Sungguh aku tidak akan pernah lupa setiap detik yang menjadi saat terindah dalam hidup ini. Sesungguhnya pengorbananmu cukup besar hingga tiada umpamanya. Dikau sanggup berlapar demi kami. Dikau sanggup bersengkang mata, berjaga malam sekiranya kami sakit. Dikau sanggup menyembunyikan tangismu untuk melihat kami anak-anakmu tersenyum gembira. Dikau menahan letih dan jerih membesarkan kami tanpa sebarang ganjaran. Jika dunia dan himpunan segala isi nikmatnya diberikan kepadaku, tiada tandingnya dengan nilai jasa, kasih dan sayang mu. Kisah ini kisah kita, namun kisah ini adalah lambang hati seorang ibu demi anaknya. Ianya menjadi nilai penghargaan tertinggi buat insan yang bergelar ‘IBU’.

“Masih gerimis mak!” Jawabku yang masih duduk di tepi jendela melihat titisan hujan yang kian halus berderai membasahi bumi. Lantas emak menarik lenganku menuju keluar sambil membetulkan laras payung yang dibukanya. Sejak subuh hingga berganjak dinihari, hujan yang maha lebat membasahi bumi. Kedengaran keroncong irama borborgymi di perut sejak pagi dek kerana kami sekeluarga tidak menjamah apapun lagi untuk hari itu. Tong beras di dapur kosong, secupak terakhir beras telahpun emak guna buat masak nasi goreng kicap semalam. Nak beli beras kena tunggu sehari dua lagi bila dapat duit Bantuan Kebajikan Masyarakat. Sedari tadi raut wajah emak kerisauan, resah, mundar mandir ke dapur mencari apa saja tersisa buat makan kami anak-anaknya.

 “Jom teman mak ke rumah Bilal Taib!”, emak bersuara sambil terus mengatur langkahnya dan masih kemas memegang lenganku. Sampai di rumah Bilal Taib kami disambut mesra oleh isterinya. Walaupun beliau bukanlah orang senang, emak diberi segugus pisang berangan bekal dibawa pulang. Merasalah perut kami makan cucur pisang sampai ke malam, hasil keringat seorang ibu yang sanggup meredah hujan dan membuang rasa malu menagih makanan demi anak-anaknya. Masih ku ingat setiap gorengan pisang itu bersilih ganti kami adik beradik menadah pinggan dan emak masih tekun menggoreng. Tidak diendahkan rintihan perutnya sendiri yang turut lapar ketika itu, asalkan setiap perut anaknya terisi. Itu sudah cukup baginya.

Tingginya nilai kasih dan pengorbanan seorang ibu. Terkenang untaian bait indah “Ibu, dirimu bagai sang suria menyinari bumi, bagai lilin membakar diri, memberi sinar dan cahaya buat kami anak-anakmu”. Meskipun dirimu telah pergi dijemput ilahi, masih terasa hangatnya pelukan kasih dan sayang mu. Sungguh aku rindu padamu. Tidak terbalas setiap pengorbanan dan kasih sayang yang dikau curahkan dalam membesarkan dan mendidik kami adik beradik menjadi insan yang berguna. Benarlah, dalam Islam sendiri telah meletakkan martabat tertinggi buat insan bernama ‘ibu’. Teringat kisah seorang lelaki yang berjumpa Rasulullah SAW bertanyakan tentang siapakah yang paling berhak untuk beliau berbuat baik. Maka, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ibu mu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu mu, kemudian ibu mu, kemudian bapa mu. Begitu tinggi martabatmu ibu.

Itulah ceritera hati seorang ibu. Secebis kasih insan terpilih yang dipinjamkan oleh Si Pencipta buat kita semua. Bermula dari janin menumpang dalam rahim kandungannya hinggalah lahir ke dunia. Insan yang sabar membesarkan cahayamatanya. Insan yang cukup mengasihi hatta dari gigitan seekor nyamuk sekalipun. Sejak dalam buaian, merangkak, kemudian meniti berdiri, bertatih, berjalan dan berlari sehinggalah dewasa. Dialah yang paling gigih dan tabah mendidik mendepani cabaran, melalui halangan, ujian dalam setiap fasa kehidupan. Dia lah penyambung warisan, menggalas beban dalam senyuman demi selembar kertas kehidupan. Dialah insan yang bergelar Ibu.

“Kasih ibu tiada taranya, Kasih ibu tiada tandingannya, Kasih ibu sepanjang masa, Kasih ibu membawa ke syurga”.

  • Share:

You Might Also Like

0 comments