HATI SEORANG IBU
oleh
Abdul Rashid Abdul Aziz
Emak,
kisah ini masih terpahat dalam memori dari ribuan bukti kasih sayang mu.
Sungguh aku tidak akan pernah lupa setiap detik yang menjadi saat terindah
dalam hidup ini. Sesungguhnya pengorbananmu cukup besar hingga tiada umpamanya.
Dikau sanggup berlapar demi kami. Dikau sanggup bersengkang mata, berjaga malam
sekiranya kami sakit. Dikau sanggup menyembunyikan tangismu untuk melihat kami
anak-anakmu tersenyum gembira. Dikau menahan letih dan jerih membesarkan kami
tanpa sebarang ganjaran. Jika dunia dan himpunan segala isi nikmatnya diberikan
kepadaku, tiada tandingnya dengan nilai jasa, kasih dan sayang mu. Kisah ini
kisah kita, namun kisah ini adalah lambang hati seorang ibu demi anaknya. Ianya
menjadi nilai penghargaan tertinggi buat insan yang bergelar ‘IBU’.
“Masih gerimis mak!” Jawabku yang masih duduk di tepi jendela
melihat titisan hujan yang kian halus berderai membasahi bumi. Lantas emak menarik
lenganku menuju keluar sambil membetulkan laras payung yang dibukanya. Sejak
subuh hingga berganjak dinihari, hujan yang maha lebat membasahi bumi. Kedengaran
keroncong irama borborgymi di perut sejak pagi dek kerana kami sekeluarga
tidak menjamah apapun lagi untuk hari itu. Tong beras di dapur kosong, secupak terakhir
beras telahpun emak guna buat masak nasi goreng kicap semalam. Nak beli beras kena
tunggu sehari dua lagi bila dapat duit Bantuan Kebajikan Masyarakat. Sedari tadi
raut wajah emak kerisauan, resah, mundar mandir ke dapur mencari apa saja
tersisa buat makan kami anak-anaknya.
“Jom teman mak ke rumah
Bilal Taib!”, emak bersuara sambil terus mengatur langkahnya dan masih kemas
memegang lenganku. Sampai di rumah Bilal Taib kami disambut mesra oleh
isterinya. Walaupun beliau bukanlah orang senang, emak diberi segugus pisang
berangan bekal dibawa pulang. Merasalah perut kami makan cucur pisang sampai ke
malam, hasil keringat seorang ibu yang sanggup meredah hujan dan membuang rasa
malu menagih makanan demi anak-anaknya. Masih ku ingat setiap gorengan pisang
itu bersilih ganti kami adik beradik menadah pinggan dan emak masih tekun
menggoreng. Tidak diendahkan rintihan perutnya sendiri yang turut lapar ketika
itu, asalkan setiap perut anaknya terisi. Itu sudah cukup baginya.
Tingginya nilai kasih dan pengorbanan seorang ibu. Terkenang untaian
bait indah “Ibu, dirimu bagai sang suria menyinari bumi, bagai lilin
membakar diri, memberi sinar dan cahaya buat kami anak-anakmu”. Meskipun dirimu
telah pergi dijemput ilahi, masih terasa hangatnya pelukan kasih dan sayang mu.
Sungguh aku rindu padamu. Tidak terbalas setiap pengorbanan dan kasih sayang
yang dikau curahkan dalam membesarkan dan mendidik kami adik beradik menjadi
insan yang berguna. Benarlah, dalam Islam sendiri telah meletakkan martabat tertinggi
buat insan bernama ‘ibu’. Teringat kisah seorang lelaki yang berjumpa
Rasulullah SAW bertanyakan tentang siapakah yang paling berhak untuk beliau
berbuat baik. Maka, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ibu mu (adalah
manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu mu,
kemudian ibu mu, kemudian bapa mu. Begitu tinggi martabatmu ibu.
Itulah ceritera hati seorang ibu. Secebis kasih insan terpilih yang
dipinjamkan oleh Si Pencipta buat kita semua. Bermula dari janin menumpang
dalam rahim kandungannya hinggalah lahir ke dunia. Insan yang sabar membesarkan
cahayamatanya. Insan yang cukup mengasihi hatta dari gigitan seekor nyamuk
sekalipun. Sejak dalam buaian, merangkak, kemudian meniti berdiri, bertatih,
berjalan dan berlari sehinggalah dewasa. Dialah yang paling gigih dan tabah mendidik
mendepani cabaran, melalui halangan, ujian dalam setiap fasa kehidupan. Dia lah
penyambung warisan, menggalas beban dalam senyuman demi selembar kertas kehidupan.
Dialah insan yang bergelar Ibu.
“Kasih ibu tiada taranya, Kasih ibu tiada tandingannya, Kasih ibu
sepanjang masa, Kasih ibu membawa ke syurga”.